New Lecturer Easy Guide (newLEG)

New Lecturer Easy Guide (newLEG)

Menu

Selamat Datang ke UiTM Cawangan Perlis

Sekapur Sirih, Seulas Pinang dari Rektor Kampus UiTM Cawangan Perlis

Bismillahirahmanirahim..

Assalamualaikum wbt & Salam UiTM di Hatiku,

Terlebih dahulu tahniah kerana Dr/Tuan/Puan telahpun berjaya terpilih  sebagai kakitangan akademik UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau. Sebagai pensyarah baru, tentunya banyak perkara yang perlu diketahui, diuruskan dan dirancang supaya permulaan perjalanan karier pensyarah baru di UiTM Perlis ini berjalan lancar. Sebagai bahan rujukan tambahan, aplikasi mudah alih newLEG telah dibangunkan untuk membantu pensyarah-pensyarah baru mendapatkan maklumat asas apabila mereka datang melapor diri ke UiTM Perlis dan diharap ia dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

YBrs. Prof. Madya Ts Dr Shukor Sanim Bin Mohd Fauzi

Rektor

UiTM Cawangan Perlis

Dari Tinta Pena Timbalan Rektor Akademik UiTM Cawangan Perlis

Matlamat utama pembangunan aplikasi mudah alih ini adalah untuk memudahkan para pensyarah bagi mendapatkan gambaran prosedur umum yang perlu dilakukan apabila mereka menerima tawaran berkerja sebagai  kakitangan akademik di UiTM Perlis. Ini kerana dalam dua minggu pertama melapor diri biasanya pelbagai perkara berkaitan urusan pendaftaran perlu diselesaikan seperti untuk mendapatkan nombor dan kad pekerja, pelekat kenderaan, bilik pensyarah, jadual waktu pengajaran, akses kepada internet, sistem pengurusan seperti HR2U, AIMS, SIMS, fineportal dan sebagainya perlu dimohon dengan segera.


Manakala untuk memulakan tugasan utama sebagai seorang pensyarah mereka perlu bersedia dengan maklumat dan bahan-bahan pengajaran yang sesuai. Bukan itu sahaja, skop tugas pensyarah adalah lebih luas tidak terhad kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran sahaja. Begitu juga dalam tempoh seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran bekerja, pensyarah baru sepatutnya merancang dan bersedia untuk memohon pengesahan jawatan. Kesemua ini perlu dirancang dengan rapi oleh semua pensyarah baru supaya mereka segera diserapkan ke dalam perkhidmatan kerajaan selepas pengesahan jawatan dilakukan.


Dengan adanya aplikasi mudah alih ini, pensyarah baru hanya perlu klik menu pada ikon pintasan (shortcut icon) newLEG di telefon bimbit peribadi bagi mendapatkan maklumat-maklumat umum sebagai panduan dalam menyelesaikan tanggungjawab masing-masing dengan pantas dan sempurna. Dalam aplikasi newLEG versi pertama ini, hanya panduan bagi pensyarah baru di kampus UiTM Perlis sahaja disediakan yang mana ia dibahagikan kepada tiga komponen iaitu:

i. Easy Guide 1 - berkenaan tatacara Lapor Diri Pensyarah Baru

ii. Easy Guide 2 - berkenaan tugas-tugas pensyarah

iii. Easy Guide 3 - berkenaan urusan Pengesahan Jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.


Diharap aplikasi mudah alih newLEG ini menjadi pemudahcara kepada pensyarah baru yang baru melapor diri ke UiTM Kampus Arau dalam mencorakkan pejalanan karier masing-masing dengan cemerlang.


YBhg Prof Ts Dr Mohd  Azlan Mohd Ishak

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik

UiTM Cawangan Perlis

Lokasi UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau

MAKLUMAT KORPORAT UITM




LOGO RASMI UITM


MOTTO

“Usaha, Taqwa, Mulia”


VISI

Menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya terlahir graduan yang berdaya saing, global dan beretika.


MISI

Mempertingkatkan keilmuan dan kepakaran bumiputera dalam semua bidang menerusi penyampaian program profesional, penyelidikan serta penglibatan khidmat masyarakat yang berlandaskan kepada nilai-nilai murni dan etika keprofesionalan.


FALSAFAH

Seseorang individu mampu berusaha untuk mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai-nilai murni bagi melahirkan graduan profesional yang berperanan membangunkan diri, ilmu, masyarakat dan negara.


OBJEKTIF 

  • Menyediakan peluang maksimum kepada kaum bumiputera bagi mengikuti pendidikan bertaraf profesional dalam bidang sains, industri, teknologi, perdagangan, seni dan kemasyarakatan. 
  • Menyediakan program pengajaran yang berkualiti dan inovatif serta memenuhi kehendak pasaran dan pelanggan di samping mendokong dasar pembangunan negara. 
  • Mewujudkan program pembangunan kemanusiaan sebagai alat menerapkan sistem nilai di kalangan masyarakat UiTM. 
  • Memastikan produk UiTM bukan sahaja dapat memenuhi pasaran guna tenaga manusia tempatan, malah juga bersedia berkhidmat di peringkat global. 
  • Menjadikan UiTM sebuah organisasi cemerlang yang dapat menjamin pengurusan sumber manusia, kewangan dan harta benda yang berkesan dan cekap untuk mencapai matlamat pendidikan UiTM serta memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat.

Lagu Rasmi UiTM

Terdapat dua versi lagu rasmi UiTM iaitu:

1. UiTM di Hatiku

2. Wawasan Setia Warga UiTM

Lagu-lagu ini sering dimainkan dalam majlis-majlis rasmi bagi menimbulkan kecintaan terhadap UiTM sebagai gedung ilmu tersohor selain menyemarakkan rasa semangat dalam kalangan warga UiTM yang cintakan ilmu khususnya seluruh anak bangsa bumiputera yang menuntut ilmu di universiti ini.