New Lecturer Easy Guide (newLEG)

New Lecturer Easy Guide (newLEG)

Menu

Tanggungjawab dan Tugas Pensyarah UiTM

Tanggungjawab Pensyarah UiTM

Secara amnya Pensyarah-Pensyarah UiTM perlu melaksanakan bukan sahaja aktiviti kuliah dan amali kepada pelajar, malah ia perlu meliputi aspek yang lebih luas seperti penyelidikan, penulisan serta aktiviti-aktiviti lain yang boleh menonjolkan kesarjanaan para pensyarah.


Tugas-tugas pensyarah secara terperincinya perlu dirancang setiap tahun mengikut skop tugas seperti yang disusun di dalam laman sesawang Amanah Tugas Pensyarah (myATP) yang mana ia di bahagikan kepada bidang-bidang utama seperti berikut:

1. Pengajaran & Pembelajaran

2. Penyeliaan

3. Penyelidikan & Penerbitan

4. Konsultasi & Kepakaran

5. Inovasi & Keusahawanan

6. Pentadbiran & Perkhidmatan

7. Anugerah/Sanjungan

Amalan Pengajaran & Pembelajaran (P &P) di UiTM Perlis

Pengenalan

Proses pengajaran dan pembelajaran di UiTM Perlis pada masa ini boleh dilakukan secara fizikal (tatap muka) atau atas talian (secara maya) bergantung kepada keperluan kursus bagi program-program tertentu.

Mod pengajaran biasanya dinyatakan di dalam dokumen Maklumat Kursus (Course Information) yang boleh di akses melalui sistem AIMS. Antara contoh mod pengajaran adalah seperti 'Lecture, Tutorial, Lab, Blended Learning, Gamification, Site Visit' dan pelbagai lagi. Pensyarah boleh 'log in' dan membuat carian kepada sebarang kod kursus yang ingin diketahui maklumat kursusnya secara terperinci di sini iaitu melalui laman web rasmi https://aims.uitm.edu.my/curriculum/.

Lokasi atau tempat bagi pensyarah menjalankan kuliah boleh dirujuk pada jadual Amanah Tugas Akademik (ATA). Contohnya label bilik kuliah adalah merujuk kepada blok akademik seperti berikut:

A- Blok Al-Farabi 2 & 3

B- Blok Al-Farabi 2 & 3

D- Blok Kenangan

E- Kompleks STAR

Selain itu, kelas berbentuk Makmal dan lapangan juga dikendalikan sama ada di makmal tertenti atau di luar kelas.

Kontek syarahan pula merujuk kepada berapa jam temu bagi sesuatu kursus yang jumlahnya adalah antara 16-18 jam seminggu bagi setiap pensyarah. Pengurangan jam ATA hanya berlaku kepada pensyarah yang biasanya memegang jawatan pentadbiran dengan merujuk syarat pada surat lantikan rasmi oleh UiTM.


Medium Rasmi Pengajaran & Pembelajaran di UiTM - UFuture

Semua Pensyarah UiTM umumnya akan menggunakan platform Ufuture untuk berkongsi bahan pengajaran bukan sahaja kepada pelajar-pelajar mereka malah sesama pensyarah yang mengajar kod kursus yang sama di dalam sistem UiTM. Untuk memahami serba sedikit tatacara penggunaan Ufuture, berikut disertakan video yang berkaitan sebagai rujukan.

Penyeliaan

Aspek penyeliaan adalah merujuk kepada penyeliaaan projek tahun akhir bagi pelajar-pelajar Diploma, Sarjana Muda, Sarjana atau Kedoktoran. Kebiasaanya Pensyarah baru akan dilantik sebagai penyelia tesis projek tahun akhir pelajar program Sarjana Muda. Bagi program diploma yang pelajarnya tamat dengan menjalani Latihan Industri pada semester akhir, pensyarah-pensyarah juga akan dilantik sebagai penyelia. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada sesuatu program yang menawarkan pengambilan pelajar di kampus tersebut. Sekiranya pensyarah dilantik sebagai penyelia pelajar di intitusi lain, ia juga diambil kira sebagai merit di dalam myATP.

Penyelidikan dan Penerbitan

Pensyarah juga perlu menjalankan aktiviti penyelidikan sebagai mengembangkan lagi ilmu pengetahuan dan berkongsi hasil dapatan dengan ahli-ahli akademik, para pelajar dan masyarakat. Hal ini penting bagi menonjolkan kepentingan bidang ilmu yang dipelopori oleh seseorang pensyarah. Buat permulaan, penyelidikan yang ingin dijalankan boleh dibuat dalam skop yang kecil dengan memohon geran-geran penyelidikan peringkat dalaman UiTM seperti geran MyRA (lepasan PHD, Bestari dan SDG). Jika telah bersedia, pensyarah boleh juga memohon geran-geran peringkat nasional seperti Fundamental Research Grant (FRGS), National Science Foundation (NSF) atau geran-geran di peringkat antarabangsa.


Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan biasanya perlu didokumentasikan dan dibentangkan di dalam sesi konferensi akademik atau seminar yang bersesuaian. Hasil penyelidikan yang dibentangkan kadangkala terpilih untuk dimuatkan ke dalam jurnal berindeks atau sekurang-kurangnya di dalam proceeding berindeks menjadi merit yang amat berharga kepada para pensyarah. Penghantaran kertas kerja secara terus kepada sesuatu jurnal juga boleh dilakukan tanpa melalui pembentangan di persidangan, tetapi kebiasaannya ia akan mengambil masa yang panjang atau penyelidik perlu membayar cas penerbitan yang sangat tinggi untuk memastikan kertas kerja mereka diterbitkan setelah melalui proses semakan oleh penilai-penilai profesional.

Konsultasi dan Kepakaran

Pensyarah juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti konsultasi atau lain-lain perkongsian kepakaran terhadap pihak luar bagi mengambarkan pensyarah adalah pakar rujuk yang dominan dalam bidang kepakaran masing-masing. Bagi konteks konsultasi, ia terbahagi kepada dua iaitu konsultasi dengan bayaran oleh pihak luar atau tanpa bayaran. Kedua-duanya mempunyai merit tersendiri. Walau bagaimanapun, kerja-kerja konsultasi pensyarah haruslah didaftarkan dalam pengkalan data projek konsultasi dan prosedurnya boleh dirujuk di Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA), UiTM Perlis.

Inovasi dan Keusahawanan

Hasil penyedilikan pensyarah yang menghasilkan penemuan baru atau model boleh juga dihantar ke pertandingan-pertandingan inovasi bagi mendapatkan merit bagi bahagian inovasi. Penglibatan dalam pertandingan inovasi sekiranya berjaya, memberi pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan pensyarah. Selain itu, penglibatan dalam bidang keusahawanan sama ada untuk pensyarah atau mana-mana aktiviti keusahawanan bersama pelajar juga boleh diambil kira untuk bahagian ini.


Pentadbiran dan Perkhidmatan

Dalam tempoh perkhidmatan para pensyarah juga akan terlibat dalam pelbagai jawatankuasa dan memegang jawatan dalam hal ehwal pentadbiran. Penglibatan pensyarah dalam pelbagai aktiviti di universiti dengan adanya surat lantikan rasmi boleh digunapakai untuk tujuan mengumpul mata dalam myATP dan untuk tujuan kenaikan pangkat. Rekod-rekod surat lantikan dan penghargaan seharusnya disimpan dengan baik oleh pensyarah. Secara terperinci, penilaian bahagian ini tidak terhad kepada lantikan untuk urusan rasmi universiti atau kampus, malahan meliputi keahlian dalam badan profesional, pembangunan pelajar dan aktiviti khidmat masyarakat.


Untuk maklumat lanjut berkenaan Hal Ehwal Akademik, sila klik pada pautan yang disediakan.